Mabuk
Laut?
Pernahkah anda tiba-tiba terasa persekitaran anda seperti
berpusing, hilang keseimbangan, terasa pening dan seolah-olah
hampir pitam? Atau anda mengalami gejala ‘mabuk laut’
tanpa sebab? Meskipun perkara ini berlaku hanya seketika,
ia boleh menjejaskan kerja harian anda.
Ini yang terjadi kepada seorang teman ketika
dalam perjalanan balik ke pejabat selepas temujanji dengan
pelanggan.
Katanya, ia berlaku secara tiba-tiba yang
menyebabkan dia tidak boleh menumpukan perhatian kepada
pemanduan dan terpaksa memberhentikan kereta serta menyebabkan
sedikit kesesakan jalan raya.
Menurut Perunding Bedah Telinga Hidung
Tekak, Leher dan Kepala; Hospital Sungai Buloh, Dr Balachandran
Appoo, apa yang berlaku kepada teman penulis ini dipanggil
vertigo, iaitu keadaan apabila seseorang hilang keseimbangan
dan merasakan dunia di sekelilingnya berpusing.
Bagi yang tidak pernah mengalami perkara
ini, tentu ketika kecil anda pernah menyertai permainan
di mana mata anda ditutup dan badan dipusingkan beberapa
kali. Apabila berhenti dan penutup mata dibuka, anda berasa
pening dan seperti hendak jatuh. Keadaan inilah yang dipanggil
vertigo.
Vertigo adalah perkara yang boleh dikatakan
lazim dan berlaku pada dua hingga tiga peratus penduduk.
Jumlahnya mungkin lebih tinggi kerana ramai tidak tahu atau
tidak pernah mendengar mengenai masalah ini.
Dr Balachandran berkata, kini kes vertigo
semakin meningkat disebabkan gaya hidup moden. Namun tidak
ramai yang datang mendapatkan nasihat atau bantuan doktor
kerana bimbang gejala itu menandakan penyakit lain seperti
kanser. Bagi yang tahu pula enggan mendapatkan rawatan.
Siapa yang boleh mendapat vertigo? Sesiapa
saja. Semua orang boleh mengalami vertigo, termasuk kanak-kanak.
Vertigo berlaku apabila kita hilang keseimbangan. Keseimbangan
kita dikawal oleh tiga komponen iaitu:
Penglihatan (70 peratus)
— Untuk keseimbangan, kita akan memfokuskan penglihatan
pada satu objek. Ini yang biasanya dilakukan apabila kita
ada di laut yang luas terbentang. Untuk mengelak mabuk laut,
kita mencari satu objek sebagai titik fokus pandangan.
Anda juga mungkin pernah mendengar rakan
atau ahli keluarga yang rabun mengadu pening kepala apabila
tidak memakai cermin mata atau kanta sentuh. Ini berlaku
kerana mata mereka tidak dapat fokus pada satu-satu objek
dengan baik dan semua yang dilihat kelihatan kabur. Lama
kelamaan dia berasa pening akibat hilang keseimbangan.
Sensasi sendi (15 peratus)
— Apabila kita menutup mata atau berjalan dalam gelap,
kita menggunakan deria sentuh dan sendi sebagai ‘alat’
untuk menseimbangkan badan.
Telinga dalam (15 peratus)
— Walaupun sangat kecil, telinga dalam memainkan fungsi
penting untuk memastikan keseimbangan badan. Sebarang halangan,
trauma atau jangkitan pada telinga dalam boleh menjejaskan
keseimbangan. Telinga dalam membolehkan badan mengesan posisi
dan mengekalkan keseimbangan.
“Vertigo tidak sama dengan pening
kerana vertigo merujuk kepada pergerakan persekitaran ilusi
(bukan benar-benar berlaku) dan biasanya ia hanya seketika.
Pening bukan vertigo tetapi apabila seseorang mengalami
vertigo, dia boleh berasa pening.
“Pitam juga bukan vertigo tetapi
individu yang mengalami vertigo kadangkala boleh pitam.
Biasanya apabila vertigo berlaku, seseorang itu berasa sangat
tidak selesa, mual dan kadangkala boleh muntah,” katanya.
Banyak perkara boleh menyebabkan vertigo,
antaranya:
Penglihatan terjejas
Masalah telinga
Perubahan suhu secara mendadak pada telinga
(peningkatan atau penurunan suhu sebanyak empat darjah Celsius
boleh menyebabkan vertigo). Ia boleh berlaku jika doktor
mahu membersihkan telinga seseorang dan menyemburkan air
sejuk pada sebelah telinga. Untuk mengelak pesakit mengalami
vertigo, kini doktor menggunakan air pada suhu badan (37°
Celsius).
Trauma akut, sama ada getaran atau bunyi
yang terlalu kuat sehingga menggegarkan telinga. Perkara
sama sebenarnya berlaku apabila seseorang mengalami ‘mabuk
laut’ atau ‘mabuk pergerakan’ ketika menaiki
bot atau kenderaan. Ia biasanya berlaku pada individu yang
mempunyai telinga tengah yang sensitif terhadap pergerakan
beralun, bergerak dan berhenti secara mendadak.
Jangkitan bakteria atau virus yang menyebabkan
bengkak pada membran (selaput) telinga dalam. Masalah ini
boleh mengakibatkan seseorang hilang keseimbangan dan biasanya
jangkitan ini mengambil masa untuk sembuh.
Gegendang telinga tercedera atau terkoyak.
Kesan sampingan sesetengah jenis ubat.
Pengambilan alkohol yang terlalu banyak juga boleh menyebabkan
vertigo sementara.
Penyakit seperti kanser atau ketumbuhan
pada otak juga boleh membuatkan seseorang mengalami vertigo.
Secara umumnya kanser dan ketumbuhan otak tidak menyebabkan
vertigo, tetapi pesakit boleh hilang keseimbangan jika berlaku
pendarahan secara tiba-tiba.
Sejarah keluarga. Dianggarkan kira-kira
15 peratus individu yang mengalami vertigo mempunyai sejarah
keluarga mendapat gangguan ini.
Penyakit Meniere iaitu gangguan pada telinga
dalam yang menyebabkan seseorang mengalami beberapa episod
vertigo. Penyakit ini boleh disebabkan jangkitan virus,
kecederaan atau alahan. Namun dalam kebanyakan kes, puncanya
tidak diketahui.
Idiopatik iaitu puncanya tidak diketahui.
Contohnya ialah vertigo posisi paroksimal benigna (BPPV).
BPPV ialah vertigo paling lazim disebabkan perubahan kedudukan
(posisi) kepala. Biasanya ia berlaku apabila seseorang baring,
bangun, mengubah kedudukan di atas katil atau mendongakkan
kepala. Bagaimanapun, vertigo jenis ini tidak berbahaya
dan hanya seketika iaitu kurang daripada satu minit.
Gejala
Dr Balachandaran berkata, serangan vertigo pada setiap orang
tidak sama. Ada yang sekejap saja dan apa pula yang berlanjutan
sehingga beberapa minit atau jam. Gejala dialami mungkin
berbeza mengikut punca vertigo. Namun secara umumnya seseorang
itu boleh mengalami:
- Berasa dunia di sekelilingnya seolah-olah
berpusing
- Tidak selesa dan tidak berdaya
- Pening, mual dan boleh muntah
- Pitam
- Berpeluh
- Sukar atau tidak boleh berjalan dan memandu
Bagi individu yang mengalami penyakit
Meniere, dia mungkin mendengar bunyi deringan (tinnitus),
telinga terasa penuh atau pendengaran terjejas pada sebelah
telinga.
Individu ini boleh mengalami satu atau
beberapa episod vertigo yang berlarutan dari beberapa minit
ke beberapa jam.
Individu yang mendapat jangkitan telinga
dalam pula berasa sangat mual dan menjadi bertambah teruk
jika menggerakkan kepala atau mengalih pandangan.
Apa perlu dilakukan?
Pengetahuan mengenai vertigo sangat penting. Oleh kerana
ia membabitkan masalah atau gangguan pada keseimbangan,
anda perlu berhenti segera apa yang sedang dilakukan.
Ini sangat penting, terutama jika memandu
atau mengendalikan mesin, kerana ia bukan saja boleh membahayakan
nyawa anda, bahkan orang lain.
Berhenti dan cepat-cepat berehat. Biasanya
serangan vertigo hilang selepas anda berehat. Bagaimanapun,
Dr Balachandran mengingatkan supaya anda tidak menyambung
pekerjaan sejurus selepas berasa lebih baik kerana ia adalah
tindakan berbahaya.
“Dalam kebanyakan kes, vertigo akan
hilang dengan berehat tetapi apabila bergerak, anda akan
mengalami rasa pening dan berasa tidak stabil. Ini sebabnya
jika anda memandu, minta kawan menggantikan tempat anda.
Lebih baik jika dapat berehat (berhenti) lebih lama sehingga
anda berasa lebih baik untuk meneruskan perjalanan,”
katanya.
Jika anda mengalami vertigo, antara perkara
penting yang perlu dilakukan ialah mengingati semua perkara
ketika kejadian seperti:
- Apa yang menyebabkan ia terjadi?
- Apa yang membuatkan anda berasa lebih baik?
- Berapa lama serangan berlaku?
- Adakah ia berulang atau hanya sekali saja?
- Adakah anda juga mendengar deringan pada sebelah telinga,
telinga berasa ‘penuh’ atau pendengaran terjejas?
Jika serangan vertigo tidak berhenti, pesakit
dinasihatkan supaya segera ke hospital kerana ia akan membuatkan
mereka tidak berdaya dan tidak dapat berfungsi dengan baik.
Apabila di hospital, pesakit akan disuruh
berehat secukupnya dan berbaring dalam keadaan selesa mengikut
keadaan mereka ketika itu.
Jururawat atau doktor tidak seharusnya cuba mengubah posisi
pesakit, terutama kepala, kerana ia hanya membuatkan pesakit
lebih ‘terseksa’. Pesakit dibiarkan berehat
dalam keadaan selesa supaya mereka berasa ‘selamat’.
Pada ketika ini pesakit perlu ditemani dan tidak ditinggalkan
sendirian kerana ada kemungkinan mereka akan jatuh apabila
cuba bangun.
“Hanya selepas itu iaitu apabila
pesakit mendapat cukup rehat dan stabil, baru doktor membuat
analisis terhadap masalah vertigo mereka. Selain diberi
ubat, pesakit juga secara perlahan-lahan digerakkan dengan
bantuan pakar fisioterapi. Mereka juga diajar teknik senaman
dipanggil rehabilitasi vestibular yang dapat mengurangkan
gejala vertigo.
“Antara senaman yang boleh dilakukan
ialah dengan duduk tegak dan melihat objek jauh, diikuti
objek dekat berulang ulang secara perlahan-lahan. Cara lain
ialah melihat objek di sebelah kiri, berpindah ke objek
di depan dan ke kanan. Senaman ini boleh membantu pesakit
berasa lebih stabil dan mengembalikan keseimbangan mereka,”
katanya.
Bila perlu berjumpa doktor?
Apabila anda mengalami vertigo, minta bantuan kawan
atau ahli keluarga membawa anda berjumpa doktor. Walaupun
dalam kebanyakan kes vertigo akan hilang dalam tempoh singkat,
lebih baik anda berjumpa doktor untuk lebih memahami masalah
ini dan belajar apa perlu dilakukan jika ia berulang.
Namun anda perlu segera dibawa berjumpa doktor jika:
- Sakit kepala
- Objek yang dilihat kelihatan berganda
- Lemah
- Sukar bercakap
- Pergerakan mata yang tidak normal
- Sukar berjalan atau mengawal tangan dan kaki
Oleh kerana mabuk perjalanan juga
boleh menyebabkan vertigo, beberapa perkara boleh dilakukan
untuk mengelakkannya:
Pilih tempat duduk paling kurang gegaran seperti
tempat duduk depan atau tepi tingkap (kereta atau bas),
dekat sayap (kapal terbang) atau dek tengah dan atas bagi
kapal.
Pastikan kepala dan badan tidak banyak
bergerak.
Duduk tegak, muka pandang ke hadapan dan
bersandar.
Tumpukan pandangan ke depan pada satu
objek yang tidak bergerak.
Jangan membaca dalam kenderaan.
Dapatkan udara segar dengan membuka tingkap
kereta atau bas. Jika di dalam kapal, pergi ke dek atas.
Jangan minum minuman beralkohol dan merokok
kerana kedua-duanya membuatkan anda berasa lebih loya. Orang
lain (dalam kereta contohnya) juga mesti tidak merokok kerana
ia turut mempengaruhi individu berkenaan (yang dikategorikan
sebagai perokok sekunder) dan asap rokok membuatkan dia
loya.
Makan sedikit makanan rendah lemak dan
berkanji. Elak makanan berbau kuat atau terlalu berperisa
(berempah dan pedas).
Usah makan jika anda menaiki penerbangan
jarak pendek.
Bagi individu yang kerap mengalami masalah
mabuk laut, ambil ubat sebelum memulakan perjalanan.
Rawatan dan penjagaan
Beberapa ubat digunakan untuk mengatasi serangan
vertigo bergantung kepada punca masalah. Ubat ini untuk
memberi ‘khasiat’ kepada telinga dalam dan menstabilkan
saraf.
Bagaimanapun, ubat ini perlu diambil untuk
satu jangka masa panjang kerana sekali seseorang itu mendapat
serangan vertigo, risiko mengalaminya lagi sentiasa ada.
Pada masa sama, individu yang pernah mengalami
serangan vertigo perlu mengubah gaya hidup dengan menjaga
kesihatan secara keseluruhan, mengawal penyakit (jika menghidap
penyakit kronik seperti kencing manis atau tekanan darah
tinggi) dan kerap melakukan senaman mengikut keupayaan masing-masing.
Namun paling penting ialah mengelak terbabit
dalam senaman atau aktiviti agresif dan lasak.
Malah, individu yang mempunyai pekerjaan
berisiko tinggi (seperti pemandu, pengendali mesin di kilang)
juga disaran sentiasa berhati-hati dan peka pada perubahan
diri sendiri.
Gejala
- Berasa dunia di sekelilingnya seolah-olah berpusing
- Tidak selesa dan tidak berdaya
- Pening, mual dan boleh muntah
- Pitam
- Berpeluh
- Sukar atau tidak boleh berjalan dan memandu
Bagi individu yang mengalami penyakit
Meniere, dia mungkin mendengar bunyi deringan (tinnitus),
telinga terasa penuh atau pendengaran terjejas pada sebelah
telinga.
Individu yang mendapat jangkitan telinga
dalam pula berasa sangat mual dan menjadi bertambah teruk
jika menggerakkan kepala atau mengalih pandangan.
Elak vertigo
Pilih tempat duduk paling kurang gegaran seperti
tempat duduk depan atau tepi tingkap (kereta atau bas),
dekat sayap (kapal terbang) atau dek tengah dan atas bagi
kapal.
Pastikan kepala dan badan tidak banyak
bergerak.
Duduk tegak, muka pandang ke hadapan dan
bersandar.
Tumpukan pandangan ke depan pada satu
objek yang tidak bergerak.
Jangan membaca dalam kenderaan.
Dapatkan udara segar dengan membuka tingkap
kereta atau bas. Jika di dalam kapal, pergi ke dek atas.
Jangan minum minuman beralkohol dan merokok
kerana kedua-duanya membuatkan anda berasa lebih loya. Orang
lain (dalam kereta contohnya) juga mesti tidak merokok kerana
ia turut mempengaruhi individu berkenaan (yang dikategorikan
sebagai perokok sekunder) dan asap rokok membuatkan dia
loya.
Makan sedikit makanan rendah lemak dan
berkanji. Elak makanan berbau kuat atau terlalu berperisa
(berempah dan pedas).
Usah makan jika anda menaiki penerbangan
jarak pendek.
Bagi individu yang kerap mengalami masalah
mabuk laut, ambil ubat sebelum memulakan perjalanan.
Sumber
dari Harian Metro |